KUALA LUMPUR: Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, yakin dengan potensi negara untuk menjadi pusat pengembangan bahasa Arab walaupun bahasa itu tidak digunakan oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa perantara utama.
"Walaupun kita tidak bercakap bahasa Arab, tetapi dari segi metodologinya, orang kita ramai yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bahasa dan Sastera Arab 2009 di sini, hari ini.
Beliau berkata, senario itu berlaku kerana sistem pendidikan pengajian Islam di negara ini adalah berbeza berbanding dengan sistem pendidikan agama di negara-negara Islam yang lain di seluruh negara.
"Keunikan pengajian Islam di Malaysia, di mana negara kita mempunyai dua pengkhususan iaitu subjek yang khusus memfokuskan kepada pengajian agama itu sendiri begitu juga dengan subjek pengajian agama yang berbentuk akademik," katanya.
Dengan itu, beliau berkata, sistem berkenaan membolehkan pelajar yang datang menuntut di negara ini mempunyai ruang dan peluang untuk lebih mendalami pengajian Islam bukan sekadar pengkhususan bidang agama tetapi dari sudut bahasa juga.
"Kini di Universiti Islam Malaysia (UIA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) cuba memperkenalkan iaitu dua pengkhususan (double major) dalam bidang agama. Ini adalah satu perkembangan yang baik yang mana sistem ini tidak banyak di negara-negara Arab dan negara Islam yang lain," katanya.
Beliau berkata, potensi untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia menjadi pakar bahasa Arab pada masa akan datang pasti menjadi lebih luas kerana kerajaan sudah menyediakan asas pendidikan Islam yang kukuh di dalam program pengajian Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF).
Program j-Qaf diperkenalkan di peringkat sekolah rendah pada tahun 2005 dan ia sedang dikaji untuk diperluaskan ke peringkat sekolah menengah pula.
Katanya, dengan memperkenalkan program itu, jelas kerajaan memberi pengiktirafan yang tinggi terhadap kepentingan bahasa Arab kerana ia adalah usaha untuk memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment