SOAL JAWAB MASALAH AGAMA



Saturday, September 18, 2010

Jangan lupa diri manfaat peluang belajar, kata Nasir

17th September, 2010

KOTA KINABALU: Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, mengingatkan pelajar-pelajar baru perubatan dan bidang agama ke Mesir memanfaatkan peluang yang diberikan kerajaan dengan belajar bersungguh-sungguh.
Beliau juga mengingatkan mereka supaya tidak lupa daratan serta sentiasa menghargai sumbangan kerajaan yang ingin melihat rakyatnya berpendidikan tinggi mampu bersaing dengan rakyat negara di dunia.
Katanya, kerajaan negeri sanggup berbelanja besar semata-mata ingin membina sebuah negara yang maju membangun dengan memiliki rakyat berpendidikan serta berminda kelas pertama berlandaskan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Nasir menjelaskan, kerajaan negeri Sabah telah membuat penghantaran pelajar ke Mesir setakat ini seramai 300 orang dalam pelbagai bidang termasuk bidang perubatan, usuludin, syariah dan Bahasa Arab di pelbagai universiti termasuk ke Universiti Aimsham; Zaqaziq; Mansoura, Tanta dan Alexandria Mesir.
Nasir yang juga menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam di Sabah diiringi Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali, Pengarah Jheains, Datuk Amri Suratman; KPSU Pusat Zakat Sabah (PZS), Ustaz Zarathan Abr Rahman dan PSU PZS, Ustaz Ag Juri mengucapkan selamat berangkat kepada kesemua 75 pelajar baru bagi tahun 2010 itu di Lapangan Terbang KKIA.
Sehubungan itu, Nasir menasihatkan kesemua ibu bapa para pelajar itu tidak merasa risau mengenai keadaan anak-anak mereka selama di Mesir kerana kerajaan telah menyediakan tempat tinggal yang sempurna iaitu di Rumah Sabah milik kerajaan Negeri Sabah di Kaherah dan Alexandria yang baru dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman awal Ogos lalu.

No comments: