SOAL JAWAB MASALAH AGAMA



Thursday, March 25, 2010

Bukan Islam mahu belajar al-Quran

Soalan
SAYA mempunyai seorang kawan yang bukan beragama Islam, tetapi dia mempunyai keinginan untuk belajar membaca al-Quran. Apakah hukum orang yang bukan beragama Islam memegang al-Quran?


AKMAL
Kelantan

Jawapan
KEINGINAN kawan bukan Islam untuk membaca dan mempelajari al-Quran sangat baik. Al-Quran adalah kitab mukjizat yang banyak memberi hidayah kepada manusia. Dengan itu hasrat beliau perlu disambut baik. Islam pula membenarkan bukan Islam membaca dan mempelajari al-Quran supaya dapat membuka hati kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Dalam pada itu anda boleh menerangkan kepada beliau kedudukan kitab suci al-Quran yang perlu dihormati dan dijaga.Ini jelas apabila Allah berfirman: “Bahawa sesungguhnya itulah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci [al-mutahharun].” (al-Quran, al-Waqi‘ah (56): 77-79)
Berkenaan hukum bukan Islam memegang al-Quran terdapat perselisihan pendapat. Ada pendapat yang tidak membenarkan bagi menjaga kesucian al-Quran. Ini termasuk kepada wanita dalam haid, mereka yang berhadas besar, tidak berwuduk dan juga bukan Islam. (al-Quran, al-Tawbah (9):28). Ada pendapat yang membenarkannya. Ini termasuk kepada kanak-kanak yang belum baligh kerana masih tidak mukallaf. (Ibn Rushd, 2000: I: 72-73; 83-84). Sebab perselisihan adalah berpunca daripada kefahaman ayat surah al-Waqi‘ah di atas. Antaranya berkenaan maksud istilah al-Mutahharun, ia sama ada bermaksud umat manusia (Bani Adam) atau malaikat. Seterusnya perselisihan timbul sama ada ia suatu bentuk khabar (pernyataan) yang membawa kepada larangan atau semata-mata penyataan tanpa ada larangan. Dengan itu memegang al-Quran (mushaf) dalam keadaan biasa adalah diharuskan apabila dapat dijaga kesuciannya.


No comments: